Rabu, 30 Januari 2013

sebungkus tapai rindu



tinggalkan untukku
sebungkus tapai itu
yang kaubalut dengan hati
dan kauikat dengan rindu
untuk kujamah sepanjang sepi ini

sebungkus tapai rindu
harumnya membangkitkan rasa
segarnya mengundang gelora
manisnya mengundang cinta

aku ingin hanyut dalam enak rasa
aku ingin khayal dalam mabuk cinta
aku ingin hangat dalam sedap rindu
aku ingin asyik dalam lazat asmara

sebungkus tapai rindu
ingin kucicip segar manisnya
dengan lidah rela
ingin kunikmati bugar isinya
dengan jemari rela
ingin kunikmati enak rasanya
dengan hikmah cinta

semoga sentiasa tapai rindumu
mengundang selera jiwaku
menggamit setia cintaku
janganlah suatu masa
manismu bertukar cuka
dan cinta berakhir duka

kerana sesungguhnya
selamanya aku ingin
mabuk dalam enak tapaimu
nikmat dalam manis cintamu

(nurman ismail@serdang@19072009@09:37am)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan