merawat luka
biarkan sahaja gelap malam ini
merawat segala luka hati
yang tercalar dek tajam duri
yang terguris dek
bisa gerigis
dari sepanjang jalan silam
bertaburan kesal dan dendam
biarkan sahaja sepi malam ini
memadamkan wajah-wajah muram
yang terlukis pada kanvas kenangan
dengan warna-warna muram
relakan sahaja terpadam dan tenggelam
dalam sunyi yang diam
biarkan sahaja hening malam ini
melagukan soneta paling pilu
senikata gerhana sebuah cinta
yang tidak kesampaian
tunaskan jitu keinsafan
pada semua kekurangan
biarkan sahaja syahdu malam ini
mengukir rasa syukur yang luhur
pada setiap nikmat yang menyimbah
pada setiap rahmat yang melimpah
rahsia dan hikmah
rentetan semua dukacita
biarkan sahaja malam membelai
dalam tenang dan damai
sesukar manapun kehidupan
sepayah manapun perjalanan
langkah harus diteruskan
dalam yakin harapan
dengan tegap keimanan..
(nurman ismail@muar@020213@10:14mlm)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan